KAEDAH HUKUMAN SEBAT IKUT SYARAK
SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang
bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang
melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan
masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.
Merujuk kepada rencana bertajuk "Kaedah
hukuman sebat di Mahkamah Syariah" oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di
dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006),
pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen
undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.
Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya
ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen
125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen
125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen
125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen
125.
Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah
Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah
(Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
(Perak) 2004, Seksyen 125.
Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta
Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560),
diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:
Seksyen 125 - Hukuman sebat
1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.
2. Alat sebatan, tidak termasuk
pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada
daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan
panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25
sentimeter.
3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:
a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti
diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa
kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman
hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas
melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di
depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana
yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh
kerajaan.
d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah "adil dan matang".
e) Orang itu hendaklah menggunakan alat
sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi
kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat
itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi
dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui
semula tubuhnya sihat.
4. Dalam hal pesalah dihukum sebat
sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan
hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.
5. Jika pegawai perubatan memperakui
bahawa pesalah itu - oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau
apa-apa sebab lain - tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya
atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang
boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan
munasabah.
Seksyen 126 - Masa melaksana hukuman
Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai
tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika
suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah
Rayuan.
Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan
seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa
segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.
Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan
sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi
panduan cara pelaksanaannya.
Jika menggunakan rotan atau ranting
kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda
dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau
seumpamanya.
Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.
Ini kerana hukuman tersebut bukan
bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta
memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari
Zaid bin Aslam. "Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah
SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila
tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu
Baginda meminta tongkat lain.
Apabila yang kedua dibawa kepadanya,
tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah
menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda
tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan
memerintahkan supaya disebat tongkat itu.
Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara
sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat
tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh
mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan
tujuannya.
Saidina Umar al-Khattab r.a pernah
menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada
tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga
ternampak ketiak."
Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''
Mengenai bahagian yang disebat, Imam
Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota
tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti
membahayakan orang yang disebat.
Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab
bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke
atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: "Kamu pergilah kepadanya,
pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya."
Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.
Ketika disebab, pesalah mesti memakai
pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti
dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh
pesalah. Ini berdasarkan riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa
Rasulullah bersabda: "Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan,
pembelengguan dan pengikatan."
Bagi pesalah hamil, hukuman mesti
dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit,
pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.
Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.
Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh
supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat
dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat.
Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.
Hukuman sebat juga hendaklah
dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca
yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.
Pelaksanaannya pula hendaklah di depan
sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur
ayat 2: "Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh
sekumpulan orang-orang yang beriman."
Sementara itu, kertas kerja bertajuk
"Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes
jenayah syariah: satu pandangan" oleh Masran Muhamad pula membezakan
hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.
1. Saiz Rotan
Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak
dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah
jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25
sentimeter.
2. Pemeriksaan Kesihatan
Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan
kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah
syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.
3. Pelaksanaan Hukuman
Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan
oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner
Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai
Sebat Rotan beragama Islam.
4. Bahagian Anggota yang Disebat
Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat
hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah
yang meletakkan beberapa pengecualian.
5. Cara Sebatan
Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak
boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara
sederhana agar tidak melukakan kulit.
6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat
Bagi pesalah jenayah, mereka tidak
memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di
tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri
dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.
7. Baki hukuman sebat yang dihentikan
Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian
atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab
kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah
syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui
bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
8. Orang yang boleh disebat
Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.
9. Saksi-saksi
Bagi pesalah jenayah, tiada saksi
diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti
bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.
Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu
bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan
kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan
orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari
kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.
Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.
No comments:
Post a Comment