Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang
bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah membincangkan Hukum Penyalahgunaan
Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain. Muzakarah telah
memutuskan bahawa dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang
lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ecstasy, katamine dan
Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).
Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis
baru yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan
penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual,
mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat
dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.
Keterangan/Hujah:
-
Nama saintifik bagi syabu ialah amphetamine sejenis dadah dari
amphetamine type stimulant iaitu dadah jenis stimulant (perangsang).
Pada amnya di negara ini amphetamine hanya diluluskan untuk sejenis
penyakit kanak-kanak yang terlalu aktif dan kurang daya tumpuan dikenali
sebagai ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder).
-
Di Malaysia, syabu mula digunakan secara berleluasa kira-kira dua tiga
tahun yang lalu berikutan kesukaran mendapatkan bekalan heroin.
-
Syabu boleh menyebabkan ketagihan dan memudharatkan kerana ia adalah
sejenis bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan paling ketara ke
atas sistem saraf (otak dan saraf tunjang) yang menyebabkan keadaan
mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya. Kesan
pengambilan syabu menyebabkan sakit emosi dan menyebabkan otak menjadi
lembab, kemurungan dan boleh membawa kepada sakit jiwa yang teruk jika
diambil berpanjangan.
-
Dadah jenis syabu mempunyai kesan mudarat yang sama seperti ecstasy,
katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB). Pengambilan dadah jenis
ecstasy dilaporkan paling banyak digunakan khususnya oleh para remaja
yang mengunjungi ‘night club’, disko, karaoke atau tempat-tempat
hiburan.
-
Abu Sari’ Muhammad Abdul Hadi berpandangan bahawa Hasyisy (ganja) dan
opium, dua jenis dadah daripada daun yang boleh menyebabkan ketagihan
dan khayal dan tahap merbahaya bahan kimia ini adalah melebihi arak.
Justeru kedua-duanya perlu diketegorikan sebagai haram sama seperti
arak.
-
Dr. Yusuf al-Qaradhawiy di dalam kitabnya “Halal dan Haram Dalam
Islam” menyatakan “Hasyisy adalah bahan yang haram, baik orang yang
mengambilnya mabuk ataupun tidak, Hasyisy ini hanya dipakai oleh
orang-orang yang jahat kerana di dalamnya ada unsur-unsur yang
memabukkan dan menyeronokkan malah sering dicampur dengan arak.”
-
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaily lagi pengharaman arak atau seumpamanya
bukan sekadar meminumnya atau mengambilnya bahkan termasuk memilikinya
atas apa juga alasan, menjual, membeli menghadiahkan dan sebagainya
adalah tertakluk dalam hukum yang sama.
- Isu ini adalah jelas dari segi kemudaratan yang dialami dan hukum Islam yang telah ditentukan. Walaupun pelbagai nama digunakan, namun sekiranya ia masih dalam konteks memudharatkan, hukumnya tetap haram.
No comments:
Post a Comment